Tuesday 28 June 2011

Keliru dengan kekasih




SAYA gadis yang sedang menghadapi dilema percintaan. Ceritanya bermula selepas saya mengenali C. Kami kenal lebih setahun. Keluarganya dan famili saya tahu hubungan kami.
Masalahnya, saya tiada perasaan terhadapnya. Namun dia sangat baik dan pernah meluahkan cintanya kepada saya. Saya ambil keputusan menerimanya selepas berpisah dengan bekas kekasih setahun lalu. Saya cuba menerimanya.

Namun, dalam masa yang sama muncul seorang lelaki lain dalam hidup saya, J dengan segala ciri idaman malah J juga menyatakan dia menyintai saya.
Saya keliru untuk membuat pilihan. Saya sukakan J tapi tidak sampai hati melukakan C kerana dia terlalu baik.

Hati saya berbelah bahagi kerana kedua-duanya saya sayang. Saya buntu memilih kedua-duanya. J saya sayang dan C saya tidak sanggup mengkhianatinya dan menghampakan keluarganya.
Gadis keliru,
Kedah.
MEMANG benar kata orang cinta itu buta. Dalam membuat pilihan siapakah jejaka bertakhta di hati, adik perlu bertanya pada diri, apakah yang diutamakan dalam kehidupan? Adakah adik rasa lebih bahagia hidup dengan lelaki yang sangat baik tetap tidak dicintai? Atau adik rasakan apabila menutup mata dan hati dari orang yang dicintai, cinta itu berubah menjadi titisan air mata dan terus tinggal di hati dalam jarak waktu yang cukup lama.

Maksudnya, adik tidak mahu kehilangan orang yang benar-benar dicintai dan berazam akan membina kebahagiaan hidup bersamanya. Adik juga perlu melihat persoalan lain seperti bagaimana kehidupan selepas memilih salah seorangnya. Siapa pun yang dipilih, adik perlu bersifat bertanggungjawab atas pilihan itu. Adik perlu mendapatkan jawapan daripada persoalan ini sebelum memilih lelaki yang kelak akan melayari bahtera perkahwinan dengan adik.
Pilihan perlu dibuat kerana Tuhan hanya menganugerahkan sekeping hati pada kita dan memberikan sekeping lagi hati pada seseorang untuk kita mencarinya. Sama ada J atau C, sewajarnya dia dapat menerima hakikat cinta. “Cinta sejati adalah ketika dia mencintai orang lain, dan kamu masih mampu tersenyum, sambil berkata: aku turut bahagia untukmu”.

Jika benar-benar J dan C menyayangi adik tetapi terpaksa beralah, atas nama cinta, salah seorang perlu mendoakan kebahagiaan adik tanpa mempunyai sebarang dendam. Itulah cinta sejati namanya. Dr doakan adik akan mempunyai pilihan yang tepat.

No comments:

Post a Comment